(PENTING) Tips Menghadapi Peperiksaan UPSR
RENCANA hari ini khusus buat tatapan adik-adik yang akan menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR). Diperlihatkan satu jadual yang memuatkan aktiviti pembelajaran siang dan malam sebagai panduan adik-adik mengulangkaji lima mata pelajaran selama 30 hari sebelum peperiksaan bermula pada awal September.
Jadual ulang kaji ini hanya suatu contoh atau cadangan. Dengan yang demikian, anda boleh gunakan sepenuhnya atau gunakan sebahagian, atau membuat penyesuaiann yang seperlunya.
Apa yang saya harapkan, anda mesti memperuntukkan masa sehingga tujuh jam siang dan malam untuk membaca, mengingat dan menguasai di samping membuat latihan pengiraan dan penulisan.
Kepada ibu bapa dan sanak saudara, saya percaya sentiasa bersedia untuk memastikan anak-anak belajar menurut jadual ulang kaji cadangan ini atau jadual lain yang disenangi demi kecemerlangan dalam UPSR akan datang.
Baiklah, jadual ulang kaji UPSR ini menggunakan masa dari pukul 8 hingga pukul 5 petang dan dari pukul 8.30 malam hingga pukul 11.15 malam. Jangka masa ulang kaji, 30 hari.
SECEBIS NASIHAT
Adik-adik tentu mahu mendapat 5A dalam peperiksaan UPSR? Syabas.
Nah, kalau anda ingin berjaya dengan cemerlang dalam UPSR, anda mesti belajar dengan penuh minat, tekun, sabar dan takwa. Minat, tekun dan sabar termasuk dalam pengertian motivasi diri. Takwa pula bermaksud bahawa anda (ibu bapa dan saudara mara anda) mesti mengerjakan solat dan sentiasa berdoa demi kesejahteraan dan kecemerlangan.
Badan anda perlu sihat supaya otak anda cerdas dan perasaan anda ceria. Makanan dan minuman perlu segar, bersih, halal, berzat dan dimasak supaya badan dan otak sihat sentiasa.
Kalau anda lulus dengan baik (sekurang-kurangnya 3A 2B), ibu bapa anda, guru-guru anda, kawan-kawan dan sanak saudara semuanya turut bergembira. Malah anda akan belajar di sekolah menengah dalam tingaktan satu yang baik. Apatah lagi kalau anda lulus dengan cemerlang (kelima-lima subjek dapat A).
Untuk cemerlang dalam peperiksaan anda mesti memaham, mengingat dan menguasai beratus-ratus topik, isi, rajah, jadual, rumus, angka dan sebagainya.
Oleh sebab itu, anda mesti menggunakan jadual belajar yang khusus sebagai panduan untuk membahagi masa yang seimbang.
Kalau anda belajar di dalam bilik darjah bersama kawan pada sebelah siang, anda hendaklah mengulang kaji pada waktu yang tidak belajar di sekolah sama ada waktu pagi atau waktu petang. Atau, anda menumpukan masa untuk ulang kaji pada sebelah malam.
Apa yang penting anda mesti mengutamakan masa untuk mengulang kaji lima subjek selama 30 hari ini.
Mudah-mudahan anda semakin menguasai setiap topik, fakta, bahasa, rajah, angka dan sebagainya.
Seperkara lagi yang mesti sentiasa diingat, bahawa setiap kejayaan perlukan pengorbanan. Semasa mengulangkaji ini, ada kalanya anda terpaksa kurangkan makan, kurangkan bermain, kurangkan menonton televisyen atau kurangkan tidur.
Hanya dengan pengorbanan, iaitu kesanggupan anda untuk belajar dengan tekun, sabar dan takwa, akhirnya nanti akan mendatangkan kejayaan yang diimpikan, iaitu mendapat 5A.
sumber: utusan malaysia,