Meneladani Teknik Pengajaran Rasulullah SAW (SIRI 6)
Anda juga digalakkan membaca entri terdahulu kami Meneladani Teknik Pengajaran Rasulullah SAW Siri 1, 2, 3, 4 dan 5.
Sebagai contoh, seperti yang telah diriwayatkan daripada Saidina Muaz bin Jabal, beliau berkata: Tatkala daku sedang membonceng di belakang Nabi dan tidaklah ada yang memisahkan antara kami melainkan pelana yang berada di atas binatang tunggangan tersebut. Lalu Baginda berkata: Wahai Muaz! Daku menjawab: Daku sentiasa menyahut segala panggilanmu dan sentiasa berbahagia membantu dan melakukan ketaatan terhadapmu.
Kemudian, Bgainda berjalan seketika dan kemudiannya memanggil semula daku sekali lagi. Wahai Muaz! Daku menjawab panggilan Baginda seperti jawapanku pada kali yang pertama tadi. Kemudian Saidina Rasulullah memanggil sekali lagi maka daku menyahut seperti sahutan kali pertama dan kedua.
Rasulullah SAW bertanya: Adakah kamu tahu hak Allah Taala terhadap hambaNya? Daku menjawab: Allah Taala dan RasulNya lebih mengetahui. Baginda pun bersabda: Hak Allah Taala terhadap para hambaNya ialah agar mereka menyembahnya dan kemudian tidak menyekutukanNya walau sedikitpun.
Kemudian Baginda berjalan seketika kemudian berkata: Wahai Muaz bin Jabal! Daku menjawab seperti jawapan pada panggilan pertama tadi. Baginda bertanya: Adakah dikau tahu apa pula hak para hamba terhadap Allah Taala apabila mereka melaksanakan ibadah kepada Allah dengan penuh ikhlas dan tanpa menyekutukanNya dengan sesuatu pun? Daku menjawab bahawa Allah Taala dan RasulNya lebih mengetahui. Lantas Baginda bersabda: hak hamba kepada Allah Taala ialah tidak mengazab dan menyeksa mereka sebagai suatu bentuk kemurahan dan kurniaan daripada Allah Taala kerana sesungguhnya Allah Taala tidak akan sekali-kali memungkiri janjiNya.
Menerusi potongan hadis di atas, seorang guru hendaklah bertanya muridnya akan sesuatu perkara agar ia dapat menyampaikan ilmu pengetahuan yang diketahui kepada murid tersebut dan menjelaskan apa-apa yang samar. Hal ini dibuktikan dengan pertanyaan Baginda kepada Saidina Muaz lalu Baginda dapat menghuraikan persoalan yang ditimbulkan berdasarkan soalan yang dikemukakan kepada sahabat tersebut.
Selain itu, Baginda juga menggunakan teknik memegang bahu atau tangan pendengar bagi menarik perhatian. Antara teknik yang amat berkesan adalah Rasulullah SAW mengajar seseorang sambil memegang bahu atau tangan. Dengan cara sentuhan ini menyebabkan pendengar akan memberikan perhatian kepada orang yang menyampaikan perkara tersebut.
Contohnya, seperti hadis yang telah diriwayatkan oleh Saidina Abdullah Bin Sakhbarah Abi Ma’mar katanya: Daku mendengar Saidina Ibnu Mas’ud berkata: Rasulullah mengajarkanku tasyahhud dan telapak tanganku berada antara kedua-dua belah telapak tangan Baginda sebagaimana Baginda mengajarku satu surah daripada al-Quran.
Sesungguhnya, pendidik yang berjaya perlu menunjukkan keprihatinan yang sepenuhnya terhadap perkara penting yang ingin disampaikan kepada murid agar mereka juga dapat merasai perasaan yang sama dan memberikan segenap tumpuan sama ada dari segi pendengaran, penglihatan, dan juga mental lasntas mereka akan mampu menguasai dan mengingati lafaz, isyarat, dan ibarat yang disampaikan tanpa ada sebarang penambahan, kekurangan, pengubahan penukaran dan sikap tidak mengambil endah terhadap perkara yang disampaikan.
Teknik yang seterusnya adalah Baginda menyatakan sesuatu di dalam bentuk kesamaran agar pendengar menyingkap perkara tersebut sebagai satu bentuk galakan atau tegahan. Kadang kala Baginda menyampaikan kata-kata dalam bentuk kesamaran sebagai galakan kepada pendengar untuk memikirkan perkara tersebut dan agar ia lebih terkesan dalam jiwa dan lebih terdorong untuk melakukannya.
Hal ini dibuktikan menerusi hadis yang telah diriwayatkan daripada Saidina Anas bin Malik beliau berkata: tatkala kami duduk bersama-sama Rasulullah lantas Baginda bersabda: Akan datang kepada kalian sekarang seorang daripada ahli syurga maka muncullah seorang lelaki daripada golongan al-Ansar yang bertitisan air wuduk daripada janggutnya sambil membawa sepasang seliparnya dengan tangan kiri.
Pada keesokan harinya Nabi mengulangi ucapan yang sama dan orang yang lalu di hadapan kami juga ialah orang yang sama. Sesunggunhnya amalan orang tersebut adalah beliau tidak pernah menipu orang muslim yang lain dan beliau juga tidak pernah berhasad dengki terhadap kebaikan yang dinikmati oleh orang lain yang dikurniakan oleh Allah Taala kepadanya.
Konklusinya, antara kaedah pengajaran yang berkesan ialah menggalakkan manusia melakukan kebaikan dengan cara memuji orang yang melakukan kebaikan tersebut tetapi menyembunyikan rahsia pujian ini daripada pengetahuan para pendengar. Perkara ini bertujuan menggalakkan mereka menyingkap sendiri perkara tersebut dan pastilah cara ini lebih memberikan kesan dalam diri pelajar.