Peranan Pensyarah Dalam Melahirkan Graduan Holistik, Berciri Keusahawanan Dan Seimbang

Reformasi pendidikan adalah sesuatu yang kerap berlaku di kebanyakan negara bertujuan untuk menambahbaik sistem yang sedia ada. Perkembangan terkini sistem pendidikan di Malaysia telah menunjukkan berlakunya reformasi pendidikan yang amat ketara di pelbagai peringkat, baik di kementerian, jabatan mahupun di peringkat Institusi Pengajian Tinggi (IPT). 

Dalam merealisasikan graduan holistik, berciri keusahawanan dan seimbang seperti yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) – PPPM(PT), iCGPA telah dirangka sebagai satu mekanisme pentaksiran dan pelaporan pencapaian pelajar. 

graduan keusahawanan malaysia seimbang

iCGPA adalah satu mekanisme bersepadu pentaksiran, pelaporan pencapaian dan pembangunan pelajar yang mengambil kira peningkatan adab, keilmuan dan keupayaan mereka. Pelaporan ini memperlihatkan pencapaian atribut yang dihasratkan melalui enam aspirasi pelajar dalam PPPM (PT) dan lapan domain hasil pembelajaran Kerangka Kelayakan Malaysia. 

Ia merupakan sistem pentaksiran bersepadu yang bertujuan untuk membantu pelbagai pihak berkepentingan membuat keputusan atau merancang langkah penambaikan. 

Mekanisme ini bertujuan untuk memacu pembangunan dan penjajaran dalam reka bentuk, penyampaian dan pentaksiran kurikulum di peringkat program dan peringkat kursus agar menfokuskan pengalaman pembelajaran pelajar ke arah pembangunan insan yang holistik dan seimbang.

Tugas sebagai sebagai seorang pensyarah bukanlah sekadar mengajar semata-mata. Pengajaran di universiti meliputi perkara-perkara seperti aktiviti perancangan, pengelolaan, penyampaian, bimbingan, dan penilaian dengan tujuan menyebar ilmu pengetahuan atau kemahiran kepada pelajar-pelajar dengan cara yang berkesan. 

Kaedah pengajaran yang baik ialah dengan mempunyai langkah-langkah dan strategi yang tersusun serta objektif yang tepat dan boleh dicapai. Justeru itu, setiap pensyarah harus memilih pendekatan yang sesuai dan teknik yang menarik dan ditambah pula dengan Bahan Bantu Mengajar yang canggih dan menarik.

Tugasan penyeliaan dan pemerikasaan tesis merupakan tugasan yang boleh membantu seseorang pensyarah untuk mengembangkan idea dan ilmu menerusi penyelidikan yang dilakukan oleh pelajar diperingkat prasiswazah dan pascasiswazah. Menerusi penyeliaan, sesorang pensyarah dikehendaki untuk memantau dan memberi garis panduan penyelidikan di samping membantu untuk mencambahkan lagi penyelidikan yang dilakukan oleh pelajar.

Perundingan yang dijalankan oleh pensyarah bertujuan untuk membantu industri-industri bagi menyelesai atau mengurangkan masalah disamping memperkenalkan kaedah penyenggaraan atau pemprosesan terkini untuk digunakan oleh industri-industri tempatan. Selain itu, perundingan yang dilakukan turut membantu penyelidik dan industri bagi memilih teknik yang sesuai untuk simulasi dan meramal sesuatu keadaan komponen atau struktur.

Ilmu dan teknologi juga sentiasa berubah seiring dengan zaman. Sebagai seorang pensyarah di universiti, tugas untuk menyelidik menjadi salah satu keutamaan. Penambahan dan penemuan ilmu-ilmu baru atau yang sedia ada perlu dizahirkan dalam bentuk penulisan yang mampu untuk dikongsi, dihujah, dibincang bersama dengan ahli-ahli penyelidik yang lain. 

Penulisan dalam jurnal dan makalah memaparkan hasil penyelidikan dan teknologi terkini dalam dunia semasa selain penerbitan persidangan, seminar atau sebagainya yang sentiasa membincangkan dan membahaskan ilmu-ilmu dan hasil penyelidikan terkini.

Seseorang pensyarah juga perlu menghadiri seminar dan persidangan bagi melihat perkembangan dan kemajuan dalam bidang yang diceburi. Daripada aktiviti seperti ini, pensyarah berpeluang menambah pengetahuan atau idea tentang perkembangan penyelidikan dan kajian-kajian lanjut yang sentiasa dijalankan dengan pesat samada di dalam negara atau di luar negara. 

Perkongsian idea dan maklumat-maklumat baru inilah yang menyokong perkembangan berterusan dunia pendidikan. Ia seterusnya akan diserap dalam bidang pengajaran dan digunakan untuk kajian-kajian yang sedang atau yang akan dijalankan di jabatan.

Dari masa ke semasa, pelbagai pertandingan rekacipta dianjurkan di pelbagai peringkat samaada secara berkala atau tidak. Dalam aktiviti ini, seseorang pensyarah juga tidak ketinggalan dalam memainkan peranan dan menyumbangkan idea yang berkaitan bagi menghasilkan suatu ciptaan atau inovasi. Suatu rekacipta yang dihasilkan mungkin adalah alat, perkara atau benda yang mempunyai ciri dan kualiti yang lebih baik daripada yang sedia ada. 

Tanpa pengurusan dan pentadbiran yang mantap, apa yang dirancang akan gagal dan memungkinkan kerosakan. Pensyarah juga perlu melibatkan diri dalam pentadbiran pihak pengurusan samaada peringkat universiti, fakulti mahupun jabatan. Dengan kepakaran dan pengalaman yang dimiliki, khidmat pensyarah amat ditagih bagi melancarkan perjalanan, pengurusan dan selok-belok pentadbiran.

Seluruh warga masyarakat tidak kira segenap lapisan pasti telah rnenyumbang sesuatu secara langsung atau tidak langsung kepada perjalanan kejayaan hidup seseorang termasuklah seorang pensyarah. Maka sewajarnya seorang pensyarah juga patut rnenyumbangkan sesuatu sepenuhnya mengikut kepakaran dan kemampuan yang ada pada dirinya kepada masyarakat setempat atau antarabangsa. Sumbangan itu mungkin mampu membangunkan dan mengubah masyarakat setempat dan global dan secara tidak langsung tempias sumbangan itu pasti akan kembali kepada diri kita.


Konklusinya, kekuatan sesebuah organisasi bergantung kepada kuatnya ahli di dalam organisasi tersebut. Keanggotaan dalarn badan-badan profesional yang berkaitan marnpu memberikan kita satu panduan hala tuju yang jelas. Selain itu, penyertaan badan profesional mampu mewujudkan satu rangkaian khusus suatu kumpulan yang mempunyai bidang, minat atau kepakaran yang sama dalam membincangkan, berhujah dan mempertahankan kepentingan badan professional bersama. Selain rnewujudkan rangkaian jalinan yang luas, suatu platform perbincangan secara professional dapat dizahirkan dan kebajikan ahli secara tidak langsung akan terjaga sekaligus berupaya melahirkan graduan yang holistik, berciri keusahawanan serta seimbang dari segenap aspek dan lapangan ibarat dicampak ke laut menjadi mutiara, dicampak ke darat menjadi permata, dan dicampak ke langit menjadi kejora. – Oleh Nur Faiz binti Solehan

Bibliografi
Mohd Izham Mohd Hamzah* & Norziana Ayob, Peranan Pengetua dalam Pengurusan Kokurikulum dari Perspektif Guru Sekolah Menengah Kebangsaan Zon Keramat, Jurnal Pendidikan Malaysia 40(2)(2015): 129-138
Kamal, Tugas Sebagai Pensyarah Bukan Sekadar Mengajar, http://www.ukm.my/kamal3/FAQ/pensyarah/index.htm, diakses pada 9 Jun 2017.
Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi, Purata Nilai Gred Kumulatif Bersepadu (Icgpa) Lonjakan 1: Graduan Holistik, Berciri Keusahawanan Dan Seimbang, https://www.mohe.gov.my/pelajar/inisiatif/icgpa, diakses pada 9 Jun 2017.