Jadilah Pendidik Bukan Alat-Alat Pendidikan

Kualiti sesebuah sekolah dan pencapaian akademik pelajar banyak bergantung pada peranan seseorang guru (Den Brok 2001). Apabila seseorang pelajar bertemu guru buat pertama kali dalam kelas pengajaran, tanggapan awal tentang guru telah mula terbentuk. 

Selepas beberapa sesi pembelajaran, pelajar akan dapat merumuskan personaliti guru berkenaan (Den Brok et al. 2004). Bermula dari saat itu, personaliti guru yang disenangi atau sebaliknya mula terbina. Guru yang mengamalkan tingkah laku beradab akan lebih disukai oleh pelajar (Atan 1991). Seorang guru yang memiliki personaliti menarik seperti peramah, mudah mesra, penyayang, mengambil berat, prihatin dan pandai bergurau akan lebih suka didampingi oleh pelajar. 

Guru yang menepati masa menghadiri kelas, sabar dalam menyampaikan pengajaran, tertib dan bertanggungjawab dalam menjalankan tugas dan berkeyakinan tinggi akan disukai dan lebih dihormati oleh pelajar. 

Dalam mengurus bilik darjah, seseorang guru berperanan besar bagi memastikan suasana bilik darjahnya bersifat kondusif dan selesa serta sesuai untuk proses pengajaran dan pembelajaran. Menurut Ee Ah Meng (1995), peranan guru adalah begitu rumit. 

Peranan guru dalam pendidikan anak-anak

Seseorang guru yang cekap pengajarannya, tetapi tidak berupaya menunjukkan kemesraan dan kasih sayang tidak akan dapat memenangi hati pelajar-pelajarnya dan boleh menjejaskan keberkesanan proses pembelajaran. 

Menurut Mok Soon Sang (2000), pengajaran boleh dihuraikan sebagai suatu proses yang berkaitan dengan penyebaran ilmu pengetahuan dan kemahiran supaya murid dapat mempelajari dan menguasainya dengan berkesan. 

Pengajaran dan pembelajaran tidak dapat dilaksanakan dengan berkesan tanpa komunikasi yang berkesan. Norzaini dan Mohamed Sani (2007) berpendapat bahawa seorang guru yang berkesan bukan sahaja mengajar mata pelajaran akademik, tetapi turut berperanan sebagai penasihat, perunding, pendorong, pakar rujuk dan mengawasi disiplin. 

Hal ini selaras dengan pendapat Mok Soon Sang (2003) yang menyatakan dalam proses pengajaran, guru wajib menimbulkan minat pelajar terhadap proses pembelajaran, membimbing mereka dengan cara belajar yang berkesan, menjelaskan keraguan dan membantu mereka menyelesaikan masalah, di samping membekalkan bahan pelajaran, meningkatkan penguasaan kemahiran mereka, membentuk sikap pembelajaran yang betul, memupuk idealisme yang luhur dan nilai murni yang tinggi. 

Rumusannya, guru yang berkesan dalam pengajaran mestilah berupaya mengajar dengan baik dan mempunyai personaliti dan tingkah laku yang menarik dan disenangi pelajar. 

Terdapat pelbagai faktor yang mempengaruhi pencapaian akademik pelajar seperti latar belakang, tahap potensi dan intelek individu. 

Ia juga turut dikaitkan dengan keberkesanan hubungan kemahiran interpersonal guru dengan pelajar semasa proses pembelajaran dan pengajaran. Hubungan yang baik antara guru dan pelajar akan menimbulkan rasa hormat, selesa dan seterusnya mewujudkan rasa minat terhadap subjek yang membawa kepada peningkatan motivasi dan komitmen yang lebih baik terhadap pengajaran seseorang guru. 

Hubungan yang positif ini seterusnya akan merangsang dan mendorong pelajar untuk meningkatkan pencapaian akademik mereka terhadap subjek tersebut (Den Brok et al. 2005). Koehler dan Prior (1993) sebelum itu menegaskan bahasa interaksi guru dan pelajar adalah sangat penting. 

Interaksi guru dengan pelajar dan rakan sebaya dikatakan sebagai ‘denyutan nadi’ proses pengajaran dan pembelajaran. Kemahiran interpersonal guru memainkan peranan penting dalam hubungan antara guru dengan pelajar. Gardner (1993) mendefinisikan kemahiran interpersonal sebagai keupayaan untuk berinteraksi dengan orang lain dan memahami mereka. 

Melalui hubungan interpersonal yang baik antara guru dengan pelajar akan mampu mempengaruhi motivasi serta komitmen pelajar terhadap matapelajaran yang diajar oleh seseorang guru. Guru yang berkesan mengaplikasi kemahiran interpersonal yang menjadikan proses pengajaran jelas, lancar dan mudah difahami (Syofia et al. 2012). 

Kemahiran interpersonal telah dikenal pasti sebagai kemahiran utama berbanding faktor kecerdikan dan personaliti yang sering digunakan oleh guru ketika menyampaikan pengajaran (Syofia et al. 2012). Namun begitu kepentingan pelaksanaan kemahiran interpersonal dalam pengajaran masih belum dilaksanakan secara meluas. 

Kajian Shahril@Chairil (2002) mendapati bahawa kemahiran interpersonal guru hanya berada pada tahap sederhana. Ab. Halim et al. (2004) dalam kajiannya mendapati bahawa masih wujud beberapa aspek negatif perlakuan guru ketika mengajar seperti terlalu garang, memarahi tanpa usul periksa, menghina dan mengutuk pelajar. 

Kelemahan personaliti guru ini dikatakan turut menjadi penyebab kepada kelakuan-kelakuan kurang baik dikalangan pelajar seperti yang dirumuskan oleh Abdullah Sani (2005) dalam kajian beliau. 

Seterusnya dapatan kajian oleh Nor Shafrin, Fadzilah dan Rahimi (2009) juga menunjukkan wujud kelemahan pelaksanaan interpersonal dikalangan guru. Mereka mendapati bahawa guru gagal menunjukkan eksperesi muka yang sesuai semasa pengajaran, hanya memberi tumpuan kepada pelajar dibarisan hadapan, serta kurang memberi penghargaan atau galakan. Ini dikatakan mempengaruhi keberkesanan pengajaran mereka

Terdapat perbezaan yang jelas di antara para guru yang mana mereka yang fokus dalam pengajian bersilibus dan para guru yang berpengaruh yang dapat memberi kesan sewaktu proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung. 

Kita dapati bahawa sebahagian para guru  yang mana pekerjaan mereka disibukkan dengan menamatkan silibus pengajian semata-mata walaupun terpaksa mengorbankan kefahaman para pelajar dalam subjek seperti yang sepatutnya. 

Dengan mudahnya kita dapati mereka tergesa-gesa dan kadang kala terdapat kecuaian dari sudut pengajaran ilmu dan juga kefahaman. Mereka tidak kisah dan tidak pula rasa memudaratkan mereka sama ada para pelajar itu telah mengetahui atau memahami makna-makna ilmu dan kefahaman atau langsung tidak tahu dan tidak faham apa pun. 

Ini adalah satu jenis guru tetapi di sana ada satu jenis guru lain lagi yang mana mereka sentiasa mengambil berat kepada uslub dan cara mereka mengajar, memberi ilmu dan memberi kesan kepada akal para pelajar. 

Untuk menjadi jenis guru yang sedemikian pastinya mereka perlu berpenat lelah dan berusaha lebih dari para guru lain yang tidak mengambil berat kecuali pada silibus pengajian semata-mata tetapi merekalah yang sebenarnya membangunkan generasi modal insan yang mampu memahami ilmu serta hidup di atas dasar ilmu dari segi zahir dan batin.

Adapun para guru yang mana mereka hanya fokus dengan silibus pengajian, mereka tidak menghasilkan anak-anak murid bahkan tidak membangunkan sekalipun ke atas diri mereka sendiri maka jadilah mereka seperti mesin yang mengajar bukannya guru yang mengajar. 

Mereka juga tidak menumbuhkan sebarang pokok dan tanaman kerana tumbuh-tumbuhan itu memerlukan baja dan air yang mana bukannya memerlukan alat mesin sahaja. Jadilah guru yang benar-benar mengajar dan jangan jadi seperti mesin yang mengajar. 

Bibliografi

Datuk Dr Mohd Daud Bakar, diakses pada 30 Mei 2017,           
Khalip Musa & Hariza Abd. Halim, Kemahiran Interpersonal Guru dan Hubungan dengan Pencapaian Akademik Pelajar, Jurnal Pendidikan Malaysia 40(2)(2015): 89-99