Islamisasi Dan Integrasi Ilmu Dalam Pengajian Islam: Senario Semasa Pengajian Tinggi Negara
Secara umumnya, pendekatan Islamisasi dan integrasi ilmu pengetahuan dalam bidang Pengajian Islam di Universiti Awam (UA) dan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) telah melahirkan bidang-bidang pengajian baharu yang bersifat multi-disiplin selari dengan keperluan semasa negara dan industri. Oleh yang demikian, bidang-bidang ini perlu ditambahbaik dari semasa ke semasa dalam usaha mencapai negara maju pada tahun 2020.
Perbahasan mengenai Pengajian Islam di UA dan IPT merujuk kepada tulisan pembentang-pembentang kertas kerja dalam beberapa seminar berkaitan pendidikan dan Pengajian Islam dalam dekad yang lalu. Beberapa isu diketengahkan dalam penulisan mereka. Pertamanya berhubung matlamat dan fungsi penubuhan IPT berteraskan Islam. Kedua, senario semasa Pengajian Islam di IPTA dan IPTS. Seterusnya yang terakhir, realiti dan cabaran Pengajian Islam di universiti-universiti tempatan.
Di Malaysia, pendidikan tinggi Islam telah bermula pada tahun 1960-an melalui kewujudan Jabatan/Bahagian Pengajian Islam (Department of Islamic Studies) di Universiti Malaya yang kini dikenali Akademi Pengajian Islam (Academy of Islamic Studies) atau singkatannya APIUM. Permulaannya, Pengajian Islam di APIUM dibahagikan kepada tiga bidang utama iaitu Syariah, Usuluddin dan Pengajian Islam. Ekoran perkembangan pendidikan di Malaysia, kursus Pengajian Islam kini digabungkan dengan pengajian moden seperti diploma kewangan dan perbankan Islam
Pada masa kini terdapat lima buah IPT yang menawarkan ijazah (sarjana muda, sarjana atau PhD) dalam Pengajian Islam dan tujuh institusi peringkat pertengahan (kolej) menawarkan Pengajian Islam di peringkat sijil dan diploma. Selain Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) juga telah menawarkan Pengajian Islam melalui Fakulti Pengajian Islam. Fakulti tersebut menawarkan kursus Pengajian Islam dari peringkat prasiswazah (undergraduate) sehinggalah pascasiswazah (post-graduate). Bidang kepakaran dibahagikan kepada beberapa bidang iaitu syariah, usuluddin dan falsafah, dakwah & kepimpinan, Al-Quran & Al-Sunnah dan Pengajian Arab & Tamadun Islam. Selain itu, terdapat juga kursus Pengajian Islam yang digabungkan dengan bidang lain seperti ekonomi dan teknologi maklumat (IT). Beberapa UA lain yang menawarkan kursus Pengajian Islam ialah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Kolej Universiti Islam Malaysia (KUIM), manakala IPTS yang ada menawarkan kursus Pengajian Islam pula seperti Kolej Universiti Antarabangsa Selangor (KUIS) di Selangor dan Kolej IKIP di Pahang. Di samping itu, Kolej Islam As-Sofa yang terletak di Ampang Selangor turut menawarkan pelbagai program seperti Diploma Syariah Islamiyyah, Diploma Usuluddin, Diploma Kewangan dan Perbankan Islam, Diploma Tahfiz al-Quran dan Qiraat serta Sijil Pengajian Islam.
Secara umumnya, kewujudan pelbagai institusi dalam masyarakat Islam hanyalah untuk mendapatkan keredhaan Allah s.w.t dan merupakan teras utama dalam kehidupan setiap Muslim. Dari sudut tanggungjawab pula, pihak berwajib dan pemimpin sesebuah kerajaan khususnya kerajaan Islam, penubuhan IPT berteraskan Islam merupakan asas tanggungjawab kepimpinan dan kewalian (al-wilayah) yang perlu dipenuhi. Secara khususnya, matlamat tersebut adalah berdasarkan enam contoh IPT yang ada di seluruh dunia seperti Kolej Islam Malaya (1955), Universiti Al-Azhar, Institusi Agama Islam Negeri (IAIN) Indonesia, Institut Pengajian Islam Sultan Umar Ali Saifuddin Sa’dun Khairi Waddin (Universiti Brunei Darussalam), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Institusi Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (ISTAC). Kesemua institusi yang dinyatakan di atas mempunyai matlamat yang sama iaitu melahirkan sarjana, cendekiawan dan graduan yang mempunyai asas agama Islam yang kukuh hasil penerapan ilmu turath dalam sistem pembelajaran dan pengajarannya di samping tidak mengabaikan ilmu-ilmu moden yang menjadi fokus utama dunia hari ini.
Di samping itu, sejak tahun 1983, kursus Tamadun Islam telah mula diperkenalkan dan dilaksanakan di IPT. Matlamatnya adalah untuk memperkenalkan keunggulan Islam melalui subjek TITAS kepada semua pelajar IPT sama ada yang beragama Islam atau tidak. Subjek TITAS ini merupakan subjek wajib untuk dipelajari oleh semua pelajar sebelum menamatkan pengajian mereka di IPT. Selain itu, masyarakat bukan Islam sering didedahkan dengan pandangan negatif dan serong berkenaan agama Islam seperti agama keganasan, kemunduran, kemiskinan, diskriminasi wanita dan sebagainya. Oleh itu, secara tidak langsung subjek TITAS ini akan memberi pandangan yang sebenar berhubung dengan agama Islam.
Konklusinya, Ilmu Pengajian Islam mencakupi bidang pengajian yang sangat luas dan menjadi teras kehidupan bagi manusia yang beragama Islam bergelar Muslim. Lantaran itu, ilmu-ilmu baru yang terbit dari teras agama Al-Quran dan Al-Sunnah perlu diterokai oleh masyarakat dalam usaha memantapkan akidah/tauhid, ibadah dan akhlak seharian menuju kesempurnaan hakiki. Oleh itu, pengintegrasian dan pengislaman ilmu pengetahuan mampu menghasilkan ilmu baharu yang bersifat multi-disiplin yang sesuai dan selari dengan perkembangan zaman serta sentiasa berada di landasan syariat yang sebenar.