Peluang Kerjaya Dalam Bidang Kulinari Di Malaysia
Pekerjaan atau kerjaya sebagai seorang chef sebenarnya membuka pelbagai peluang dalam industri restoran, perhotelan, kapal pesiaran dan juga resort. Selain itu, chef juga berpeluang meningkatkan kemahiran memasak, memiliki perniagaan berasaskan makanan ataupun produk masakan dan tenaga pengajar.
Dengan kemahiran dan kebolehan yang ada membuatkan kerjaya sebagai seorang chef sangat dikagumi ramai terutama buat mereka yang berpeluang bertugas di hotel lima bintang yang terletak di lokasi percutian idaman ramai. Jika individu itu boleh bekerja di bawah tekanan, melakukan beberapa tugasan dalam satu-satu masa, bekerja sebagai sebahagian daripada pasukan, bijak menggunakan kreativiti dan imaginasi untuk menghasilkan juadah yang kelihatan menarik, bersabar dengan tugasan remeh seperti memotong sayur-sayuran dan memahami rantai pemakanan dengan baik, kerja chef pastinya bersesuaian dengan individu terbabit.
Jika di negara maju seperti Britain, lebih 520,000 orang bekerja dalam industri restoran dan kebanyakannya berumur bawah 30 tahun. Setiap tahun, terdapat sekitar 30,000 kekosongan dan ini membuka peluang buat mereka yang minat dalam bidang masakan dan seni kulinari untuk mendapatkan pekerjaan tersebut.
Di sampaing itu, industri kulinari, perhotelan dan pelancongan juga merupakan antara penyumbang kedua terbesar kepada perdagangan luar (perolehan pertukaran asing) dan KDNK. Industri ini bersifat intensif buruh dan pasarannya pelbagai.
Bidang ini juga sangat memerlukan pekerja yang terlatih untuk memenuhi peluang pekerjaan yang disediakan. Lulusan bidang ini layak bekerja di industri perkhidmatan yang berkaitan. Antara institusi yang menawarkan bidang kulinari adalah seperti Kolej Vokasional, SG Academy, Kolej Komuniti Selayang, Food Institute of Malaysia, Kolej Universiti Insaniah, Kolej PTPL, Pusat Latihan Kemahiran Ikhtisas dan banyak lagi.
Matlamat bidang ini ditubuhkan adalah untuk melahirkan profesional dalam bidang hospitaliti, pelancongan dan seni kulinari yang beretika, berkebolehan, mampu bersaing serta sentiasa mengamalkan disiplin diri yang tinggi. Tidak cukup dengan itu, bidang kulinari ini juga disajikan dengan pelbagai kelengkapan kemahiran yang sesuai dengan permintaan industri masa kini.
Graduan dari bidang ini juga mampu bekerja dalam berbagai-bagai sektor seperti sektor perkhidmatan, pelancongan, hospitaliti, dan kulinari yang menyumbang kepada pertumbuhan dan pembaikan berterusan industri dengan menggunakan keupayaan perancangan taktikal dan strategik.
Antara hasil pembelajaran bagi graduan peringkat sijil adalah berupaya menyediakan dan menghasilkan sajian mengikut piawaian atau penanda aras yang dikehendaki, seterusnya mengikuti pembelajaran di tempat kerja untuk peningkatan kerjaya atau pendidikan pada masa hadapan.
Manakala, hasil pembelajaran bagi graduan peringkat diploma pula adalah mereka mampu untuk merancang, mengguna, melaksanakan dan menyelia tugasan yang diberikan, di samping berupaya memperkukuh diri melalui pembelajaran seumur hidup sekaligus memperkukuh kualiti industri melalui latihan dan pembangunan.
Selain itu, mereka juga telah dilatih agar berupaya mempamerkan kemahiran kepimpinan pada tahap penyeliaan serta mengamalkan sistem keselamatan, kawalan kebersihan dan kebersihan makanan pada tahap yang maksimum. Bagi peringkat Ijazah Sarjana Muda pula, graduan dari bidang kulinari ini semestinya menjalankan pelbagai fungsi pengurusan dalam operasi dapur, menjalankan penyelidikan jawatan kemajuan kerjaya dalam industri, menggunakan dan menilai semula prinsip dan kemahiran pengurusan dalam industri serta mengenal pasti kepelbagaian jenis kebudayaan.
Antara cabaran yang bakal dihadapi bagi mereka yang mengambil kos ini adalah kekurangan tenaga pengajar yang pakar serta berkemahiran. Hal ini kerana industri ini boleh dikategorikan sebagai industri baru dan sedang berkembang serta masih memerlukan proses penambahbaikan yang berterusan.
Secara umumnya, masyarakat melihat bidang pengajian ini hanya tertumpu dalam aspek kemahiran semata-mata dan kurang menekankan aspek akademik. Memandangkan bidang ini merupakan bidang yang masih baru di Malaysia, maka di sinilah wujud peranan bersama dalam usaha untuk memupuk nilai positif berkaitan dengan bidang kulinari ini serta memberi kefahaman yang sebenar terhadap masyarakat tentang faedah memilih prospek ini.
Antara cabaran lain adalah pulangan pelaburan yang rendah dan lambat, tambahan pula pakej gaji yang disediakan tidak dapat menampung serta mengekalkan staf yang berpengalaman dan mahir. Keadaan industri serta kemajuan ekonomi yang sentiasa turun naik juga sangat mempengaruhi ketidakstabilan dalam pekerjaan ini.
Konklusinya, tugasan dalam bidang kulinari ini juga agak mencabar dari segi penyediaan menu, bertanggungjawab kepada soal pengurusan dapur, menjaga kualiti makanan serta tidak boleh tidak mereka perlu bersifat kreatif dan inovasi dalam melayan citarasa dan kehendak para pelanggan
terbaik
Terima kasih