Diploma Komunikasi & Media Ketahui Peluang Kerjaya Menarik Graduan Bidang Ini
Pasti ramai yang tertanya-tanya, “Apa peluang kerjaya bagi graduan diploma komunikasi dan media?” Anda tak boleh pandang rendah terhadap bidang ini tau!
Sebenarnya graduan dengan diploma komunikasi dan media mempunyai pelbagai laluan kerjaya yang tersedia untuk mereka.
Bidang pengkhususan inilah yang diperlukan dalam pembuatan filem, dokumentari, media mudah alih, teknologi radio, permainan video dan banyak lagi.
Dalam mana-mana industri pun, komunikasi ialah aspek yang paling penting untuk berinteraksi dengan semua orang di dalam dan luar syarikat, sedangkan media pula ialah tempat utama penyebaran maklumat, membentuk pemikiran rakyat, medium pengiklanan yang terbesar, dan lubuk peluang pekerjaan.
Jika anda kurang pasti tentang peluang kerjaya yang terbuka kepada graduan diploma komunikasi dan media, anda boleh teruskan membaca artikel ini untuk menerokai hal yang anda ingin ketahui.
Peluang Kerjaya Bagi Graduan Dalam Bidang Komunikasi Dan Media
Ramai tanya, ada tak peluang pekerjaan dalam bidang ini selepas tamat pengajian? Nanti belajar lama-lama mungkin juga kos pengajian mahal tapi tak da pulak nanti peluang kerja.
Jangan risau, cuba semak peluang-peluang kerjaya yang boleh anda ceburi dalam bidang nie.
- Kerjaya Kewartawanan
Zaman sekarang ini, banyak saja syarikat-syarikat akhbar, majalah, stesen televisyen, radio, dan laman web yang mencari graduan yang mempunyai latar belakang kewartawanan untuk mencari dan menyelidik sumber-sumber berita dan kemudian menyampaikan berita.
Graduan diploma pengajian komunikasi dan media yang mempunyai minat dalam industri berita bolehlah mencuba kerjaya sebagai wartawan digital.
Masa inilah anda boleh mengaplikasikan kepakaran anda dalam berkomunikasi terutamanya dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.
2. Kerjaya Copywriting
Pernah dengar tentang copywriting? Copywriting ialah kaedah memujuk pelanggan menggunakan ayat-ayat jualan, ayat promosi, ayat memukau pelanggan dan apa-apa sahaja untuk tujuan mempengaruhi pelanggan.
Bagi graduan yang ada bakat komunikasi dan media, bolehlah hasilkan slogan pengiklanan, skrip, penerangan produk, dan banyak lagi.
3. Kerjaya Pemasaran
Bagi graduan diploma dan komunikasi dan media yang baru nak memulakan kerjaya, jawatan dalam pemasaran memang sangat sesuai sebagai permulaan, sebab masa inilah mereka dapat gunakan kemahiran kreatif dan analitikal mereka.
Anda kan mempunyai kemahiran komunikasi yang berkesan dan jelas untuk mempengaruhi pembeli, masa inilah anda boleh memanfaatkannya untuk memperoleh komisen yang tinggi!
4. Kerjaya Perhubungan Awam (PR)
Graduan diploma komunikasi dan media mempunyai kemahiran tentang bagaimana nak menguruskan reputasi sesebuah syarikat dan pelanggan.
Kemahiran inilah yang menjadikan seorang perhubungan awam sangat penting sehingga mereka digelar orang tengah syarikat.
Jadi tugas mereka adalah seperti menyediakan kenyataan media, menjawab segala soal jawab daripada media, dan mengawal krisis yang sedang berlaku.
Baik atau buruknya syarikat pun bergantung terhadap kebijaksanaan dan budi bicara orang tengah syarikat ini.
5. Kerjaya Penerbitan TV Dan Filem
Peluang kerjaya yang menanti graduan komunikasi dan media ini sangat luas tau! Anda tidak perlu bekerja di satu posisi sahaja, sekiranya anda seorang wartawan TV, anda juga boleh menjadi penyampai televisyen, pengarah filem, penerbit filem dan penulis skrip.
Bukan itu sahaja, di bahagian teknikal pun anda boleh libatkan diri contohnya dalam kejuruteraan penyiaran, kesan bunyi ataupun kesan khas dalam rakaman perfileman.
Mungkin anda sekarang teringat dengan filem Mat Kilau yang pecah panggung ari tu. Memang seronok bekerja dalam bidang ini.
Seronok kan! Taklah bosan kalau boleh bekerja dalam macam-macam posisi.
6. Kerjaya Pembangunan Teknologi Digital
Untuk membangunkan industri yang pantas dan sentiasa berkembang ini, mestilah diurus oleh seseorang yang boleh dalam mengurus media, jurutera penyelidikan, mereka bentuk, dan menguruskan projek dengan berkesan.
Bagi graduan diploma komunikasi dan media, kerjaya ini memang sesuai untuk anda kerana anda memang diajarkan dengan kemahiran untuk mengendalikan peralatan-peralatan teknologi komunikasi dan media.
7. Perancang Majlis
Memulakan kerjaya sebagai perancang majlis adalah idea yang sangat menarik bagi graduan komunikasi dan media yang sedang mencari pekerjaan.
Kemahiran sebagai komunikator dan kepakaran mengendalikan teknologi media dengan cekap dan berkesan sangat membantu kelancaran majlis yang mereka sedang laksanakan.
Zaman sekarang ini, permintaan terhadap perancang majlis sangat banyak kerana warga-warga korporat ataupun pelanggan persendirian sering mengadakan pelancaran-pelancaran majlis perniagaan.
Kelebihan Graduan Diploma Komunikasi Dan Media
- Cepat diserap masuk dalam industri selepas graduasi
Siapa yang taknak terus bekerja dalam industri selepas tamat belajar kan? Kalau anda nak tahu, bidang-bidang pengkhususan yang ditawarkan dalam program komunikasi dan media sangat memenuhi kehendak industri komunikasi dan media.
Graduan diploma ini dilatih sehingga mempunyai kemahiran bertutur dan menulis yang baik terutama dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.
Tambahan lagi, mereka ada kemahiran untuk mengendalikan peralatan teknologi komunikasi.
Sebab itulah para graduasi mudah nak diserap masuk!
2. Menjadi profesional dalam berkarya dan berinovasi
Graduan diploma komunikasi dan media memang sangat bertuah! Mereka akan belajar aktiviti kemahiran seperti menerbitkan akhbar dan majalah, menulis skrip sekali gus menjadi penyampai dan penerbit radio, memproduksikan penerbitan video, dan memasarkan barangan pengguna.
Banyak kan kemahiran yang dipelajari! Tenaga pengajar pula terdiri daripada pengamal media dan komunikasi yang memang sudah mahir.
3. Mempunyai kemahiran berfikir dan memimpin
Bagaimana seorang graduan diploma komunikasi dan media boleh mahir dalam berfikir dan memimpin?
Untuk pengetahuan anda, pelajar-pelajar ini banyak dilatih dengan tugasan yang melibatkan aktiviti secara berkumpulan di dalam dan luar kelas.
Jadi, mereka memang mempunyai banyak pengalaman dalam menghasilkan kertas projek dan mengendalikan suatu majlis ataupun acara.
Dari peringkat diploma lagi mereka dibiasakan dengan brainstorming dan semangat berpasukan demi menyiapkan sesuatu kerja.
Universiti Awam Yang Menawarkan Diploma Komunikasi Dan Media
UiTM cawangan Negeri Sembilan, Kampus Rembau adalah salah satu universiti awam yang menawarkan kursus diploma komunikasi dan media.
Walau bagaimana pun, kursus ini hanya terbuka kepada yang berketurunan Melayu, Anak Negeri Sabah, Anak Negeri Sarawak, dan Orang Asli sahaja.
Selain daripada keturunan ini, permohonan untuk menyambung pengajian di UiTM mungkin tidak akan diterima.
Jadi kalau ada adik-adik di luar sana yang berhasrat untuk menceburi bidang ini, bolehlah lihat syarat-syarat kelayakan yang mereka tetapkan.
Selain itu banyak juga kolej-kolej yang menawarkan kursus dalam bidang ini.
Bolehlah semak dengan kolej-kolej berdekatan dengan anda, mungkin mereka ada menawarkan kursus ini.
Syarat Am Universiti
Nak ambil kursus ini kena juga tengok layak tak layak. Cuba semak kelayakan asas di bawah untuk ambil bidang nie.
- Adik-adik mestilah memiliki SPM atau setaraf.
- Keputusan SPM adik-adik mestilah mendapat TIGA (3) kepujian termasuk Bahasa Melayu.
- Jika adik-adik mengambil SPM pada tahun 2013 dan tahun ke atas, keputusan SPM adik-adik mestilah lulus Sejarah.
Syarat Kelayakan Lepasan SPM
Adik-adik mestilah memenuhi SYARAT AM UNIVERSITI seperti yang dinyatakan tadi dengan mendapat sekurang-kurangnya Gred C+ dalam mata pelajaran:
- Bahasa Melayu
- Minimum Gred B dalam bahasa Inggeris
- Mendapat keputusan kepujian dalam Matematik/Matematik Tambahan
- Adik-adik juga mestilah lulus temu duga dan ujian bertulis yang dikendalikan oleh Fakulti, barulah adik-adik akan dikira melepasi semua syarat kelayakan.
Nak sambung diploma dalam bidang ini selepas SPM taklah susahkan, syarat-syarat kelayakannya pun pasti adik-adik boleh capai dengan cemerlang!
Jadi pastikan adik-adik di luar sana tidak lepaskan peluang untuk memohon pengajian dalam bidang ini.
Kesimpulannya, bidang komunikasi dan media adalah bidang yang sangat luas terutama dalam peluang kerjaya.
Anda tidak perlu risau kerana jurusan komunikasi dan media sentiasa mempunyai peluang baharu untuk diteroka.
Jadi bagi para graduan diploma dalam bidang ini, ketahuilah bahawa sebenarnya banyak peluang kerjaya menarik yang sedang menanti anda di luar sana dan boleh menjamin masa depan anda yang cerah!