Ketahui 5 tahap Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Khususnya Untuk Lepasan SPM

Anda tahu tak apa itu Sijil Kemahiran Malaysia (SKM)? Pasti ada yang dah biasa dengar dan ada yang belum.

Jadi nak terangkan kepada anda semua SKM ni adalah sijil rasmi yang dikeluarkan oleh Kerajaan kepada individu yang mempunyai keupayaan, kemahiran, pengetahuan, dan kecekapan yang khusus dalam sesuatu bidang pekerjaan.

Paling penting sekali tentang sijil ini, ianya diiktiraf tau! Kalau anda memiliki sijil SKM ini, barulah majikan akan percaya tentang kebolehan dan kemahiran anda, nak cari kerja pun senang.

Zaman sekarang ni, nak cari pekerjaan tak cukup kalau kita sekadar cakap dari mulut yang kita reti buat itu ini, kena ada bukti juga betul tak?

Jadi inilah salah satu sebab kenapa pentingnya memiliki sijil kemahiran ni.

Maklumat 5 tahap Sijil Kemahiran Malaysia

Kalau anda nak tahu lagi, SKM ni mempunyai 5 tahap tau! bukan satu sahaja. Nak tahu apa 5 tahap itu?

Mari baca lebih lanjut.

Lima (5) tahap pengesahan SKM :

  • Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 1
  • Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 2
  • Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3
  • Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) Tahap 4
  • Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia (DLKM) Tahap 5

Tempoh Masa Belajar

Tempoh masa belajar secara amnya tertakhkluk kepada NOSS setiap program

  • SKM Tahap 1: 6 bulan
  • SKM Tahap 2: 6 bulan
  • SKM Tahap 3: 12 bulan
  • DKM Tahap 4: 12 bulan + 3bulan On Job Training
  • DLKM Tahap 5: 18 bulan

Siapa Yang Layak Mengikuti Program SKM?

Jika anda seorang warganegara Malaysia, anda memang bertuah. Kita patut bersyukur tau menjadi warganegara Malaysia kerana memang banyak kelebihan yang kita akan dapat.

Salah satunya adalah kelayakan menyertai program SKM inilah.

Seronok kan?

Jika adik-adik mempunyai sijil PMR/PT3 atau SPM pun sudah menjadikan anda layak.

Bagi adik-adik yang sudah tamat peperiksaan SPM lebih dialu-alukan untuk mengikuti program SKM ini.

Mengenai umur pula, minimum adalah 16 tahun dan maksimum adalah 45 tahun dan yang paling penting boleh bertutur dan menulis Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris.

Mudah saja kan syarat dia?

Eh tapi, warganegara Malaysia sahaja kah yang boleh memohon? Sebenarnya, pelajar antarabangsa pun dialu-alukan untuk memohon sekirnya berminat.

Tidaklah terhad kepada warganegara Malaysia sahaja.

Bantuan Kewangan Bagi Pelatih Kursus SKM

Anda tahu tak, semasa mengikuti kursus SKM, anda layak memohon bantuan kewangan.

Mungkin ramai dalam kalangan masyarakat yang sebenarnya berminat untuk mengikuti SKM tetapi kurang berkemampuan dari segi kewangan.

Jadi anda tidak perlu risau tentang masalah tersebut kerana ini adalah jalan penyelesaian untuk anda.

Berikut adalah beberapa sumber bantuan kewangan yang boleh anda dapatkan.

1. Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK)/ Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran

Sebuah badan berkanun iaitu Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK)/ Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran adalah salah satu bantuan kewangan yang anda boleh mohon.

Pinjaman ini bukan hanya terpakai untuk pelatih di bawah SKM sahaja tau, malah pelatih di bawah Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) dan Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia (DLKM) pun boleh memohon.

2. Penaja Industri

Pelatih terpilih yang berkelayakan boleh menerima bantuan kewangan daripada Rakan Kongsi Industri Pengajian Global (GIS).

Bagaimana Cara Dapatkan Persijilan Kemahiran Malaysia?

Kepada adik-adik yang berminat nak dapatkan SKM ini, anda mempunyai 3 kaedah yang boleh dipilih untuk mendapatkan sijil ini.

1. Melalui latihan di institusi yang diiktiraf (SLAaPB)

Di Malaysia ini terdapat banyak pusat Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) yang bertauliah dan menawarkan pelbagai bidang serta tahap kemahiran tertentu yang telah ditauliahkan.

Jika adik-adik nak melihat pusat-pusat bertauliah yang ada, adik-adik boleh melayari pautan myspike.my.

Dalam pautan tersebut, bolehlah adik-adik mendapatkan alamat dan nombor telefon JPK mengikut negeri anda masing-masing.

Mudah nak hubungi nanti.

2. Melalui latihan berorientasikan industri Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN)

Banyak industri dan institut latihan kemahiran yang menjalankan kaedah latihan perantisan dalam SLDN.

Adik-adik mesti tak tahu kan apa itu SLDN?

Untuk pengetahuan adik-adik, ‘Dual’ bermaksud latihan dijalankan dalam dua situasi pembelajaran iaitu:

a) Latihan di tempat kerja yang sebenar (syarikat). Di sini adik-adik akan melakukan 70% hingga 80% latihan amali di tempat kerja.

b) Pusat latihan di mana adik-adik akan mempelajari 20% hingga 30% pembelajaran teori.

Kalau adik-adik rasa nak dapatkan SKM melalui latihan SLDN ini, adik-adik boleh layari pautan Sistem Latihan Dual Nasional untuk maklumat lebih lanjut.

3. Melalui Pentauliahan Pencapaian Terdahulu (PPT)

Jika adik-adik pernah bekerja sebelum ini, boleh lah gunakan pengalaman yang ada untuk mendapatkan Persijilan Kemahiran Malaysia.

Walau bagaimana pun, adik-adik perlulah kemukakan bukti-bukti ketrampilan yang telah dimiliki untuk dinilai Pegawai Penilai dan disahkan oleh Pegawai Pengesah Luaran yang dilantik JPK, barulah layak mendapatkan SKM.

Kebaikan SKM

1. Diiktiraf oleh industri di Malaysia

Jika adik-adik memiliki SKM ini, mudahlah anda nak memohon pekerjaan di mana-mana industri.

Pastinya adik-adik menjadi rebutan kerana kemahiran yang dimilki dan syarikat tidak perlu memberi latihan lagi kepada adik-adik.

Kemahiran sedia ada yang adik-adik miliki memberi banyak kelebihan kepada syarikat.

2. Diiktiraf sehingga di luar negara

Untuk pengetahuan adik-adik, SKM bukan sahaja diiktiraf dalam Malaysia malah di luar negara juga tau!

Dengan berbekalkan SKM, adik-adik boleh bekerja dalam industri kemahiran di luar negara seperti negara Dubai, Australia, China, dan banyak lagi negara lain.

Seronok kan! Sambil bekerja bolehlah mengambil pengalaman hidup merantau di negara orang.

Bukan itu sahaja, kebanyakan orang bekerja di luar negara disebabkan nilai mata wang yang lebih tinggi.

3. Boleh membuka perniagaan sendiri

Nak buka perniagaan sendiri kenalah mempunyai sijil kelayakan sendiri, barulah permohonan boleh diluluskan dan mendapat kepercayaan pelanggan.

Sesetengah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pun memerlukan SKM untuk memberi kelulusan lesen premis.

Jadi, SKM ini memang sangat berguna kepada adik-adik yang berhasrat untuk membuka perniagaan sendiri dengan memanfaatkan kemahiran dan ilmu pengetahuan yang ada.

4. Berpeluang melanjutkan pelajaran ke peringkat Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) dan Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia (DLKM)

Kalau adik-adik nak tahu, DKM ini dah setaraf dengan Diploma MQA dari universiti awam/swasta tau!

Kalau adik-adik nak memohon jawatan pekerjaan dalam Perkhidmatan Awam (SPA), bolehlah gunakan kelayakan DKM.

Selepas DKM, adik-adik boleh lanjutkan ke DLKM pula sekiranya berminat melanjutkan pelajaran.

Kesimpulannya, Sijil Kemahiran Malaysia ini sangat bermanfaat dalam bidang kerjaya. Terutama kepada adik-adik yang tidak tahu nak menyambung pengajian ke mana setelah menamatkan PMR/PT3 ataupun SPM, SKM adalah salah satu jalan yang terbaik untuk adik-adik.

Dengan adanya SKM ini barulah kemahiran, pengalaman, dan ilmu pengetahuan yang kita ada akan diiktiraf dan dipercayai orang ramai.