Biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) diumumkan hari ini
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyyidin Yassin dijangka mengumumkan berita baik mengenai biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) 2012 hari ini.
Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran Malaysia semalam berkata pelajar akan memohon biasiswa JPA seperti biasa dan maklumat terperinci mengenainya akan diumumkan hari ini.
Draf mengenai apa yang dicadangkan kabinet dalam perkara itu sedang di peringkat akhir dan akan dimuktamadkan,” katanya kepada pemberita di sini Isnin.
Tahun lepas kerajaan mengumumkan satu semakan secara menyeluruh dasar biasiswa JPA akan dilakukan.
Semakan itu termasuk sama ada memperuntukkan tawaran biasiswa kepada pelajar cemerlang di peringkat kemasukan universiti dan menawarkan dermasiswa untuk pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk mereka mengikuti kursus prauniversiti seperti Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), matrikulasi atau A-level.
Sementara itu, Muhyiddin berkata Kementerian Pelajaran akan mengkaji cadangan supaya Pendidikan Islam dijadikan salah satu subjek wajib lulus dalam peperiksaan sebagaimana subjek wajib lulus yang lain.
Permintaan itu disuarakan Presiden Jalur Tiga (JATI) Datuk Dr Hasan Ali atas rasa tanggungjawab terhadap Islam dan bukan kerana bersikap perkauman atau cauvinis semata-mata.
– Bernama