Meneladani Teknik Pengajaran Rasulullah SAW (SIRI 1)
Teknik pertama adalah menjadikan dirinya sendiri dan budi pekertinya sebagai model pendidikan. Kaedah yang utama digunakan oleh Rasulullah SAW ini ialah ajaran berbentuk praktikal dengan cara menjadikan budi pekerti sebagai ikutan teladan yang baik kepada para pelajar. Baginda tidak pernah mengarahkan sesuatu perkara melainkan setelah Baginda yang melakukannya terlebih dahulu, kemudian barulah diikuti oleh para sahabat berdasarkan apa yang mereka lihat. Budi pekerti Baginda begitu indah sehingga mejadi idola terbaik untuk seluruh manusia.
Teknik yang seterusnya adalah mengajar secara beransur-ansur. Rasulullah cukup menitikberatkan konsep beransur-ansur di dalam memberi pengajaran. Rasul Murabbi ini sentiasa mendahulukan perkara yang lebih penting ke atas perkara yang penting dan mengajar satu persatu dan secara beransur-ansur. Hal ini bertujuan agar mudah difahami oleh murid dan mudah diingati serta dicerna. Sebagai contoh, daripada Saidina Jundub bin Abdullah beliau berkata : Kami bersama-sama Nabi dan umur kami ketika itu hampir baligh. Baginda mengajarkan kepada kami perkara yang berkaitan dengan keimanan sebelum mengajar al-Quran, selepas itu barulah kami belajar al-Quran dan iman kami bertambah dengannya.
Antara teknik lain adalah meraikan kesederhanaan dan menjauhi daripada perkara yang membosankan. Rasulullah cukup memerhatikan waktu dan keadaan para sahabat dalam mengajar dan memberikan peringatan kepada mereka agar mereka tidak merasa jemu bahkan Baginda amat mementingkan kesederhanaan dalam perkara tersebut.
Sebagai contoh, daripada Abdullah bin Mas’ud katanya: Tatkala kami sedang duduk di pintu rumah Abdullah bin Mas’ud menunggunya, Saidina Yazid bin Muawiyah al-Nakhaie lalu di hadapan kami lantas kami pun berkata : Khabarkan kepada Abdullah bin Mas’ud bahawa kami sedang menunggunya. Maka Saidina Yazid masuk menemui Saidina Abdullah. Tidak lama kemudian Saidina Abdullah keluar dari rumahnya lalu ia berkata: Sesungguhnya daku diberitahu bahawa kalian sedang menungguku dan tiadalah sebab yang menghalangku untuk menemui kalian melainkan kerana bimbang bahawa kalian akan merasa jemu. Sesungguhnya Rasulullah hanya memilih hari-hari yang tertentu bagi menasihati kami dan bukanlah setiap hari kerana bimbang kami akan jemu.
Selain itu, Rasulullah SAW juga menggunakan teknik meraikan perbezaan pelajar ketika mengajar. Dalam memberi nasihat kepada mereka yang meminta pandangan dan nasihat, Baginda akan memberi pandangan yang berlainan daripada seorang kepada seorang yang lain. Semuanya ini bergantung mengikut keadaan orang yang bertanya dan yang meminta nasihat atau wasiat. Teknik mengambil kira perbezaan individu ini juga digunakan oleh Baginda ketika menjawab persoalan sahabat yang bertanya mengenai amalan yang paling mulia di sisi Allah Taala. Baginda menjawab persoalan ini berdasarkan kesesuaian, kepentingan, keperluan, dan keadaan seseorang.
Di samping itu, antara teknik lain yang kerap digunakan oleh Baginda adalah melakukan sesi dialog dan bersoal jawab atau pun berinteraksi secara dua hala. Dengan berdialog dapat menarik perhatian pendengar dan mengajak mereka agar menjawab persoalan tersebut serta menganjurkan mereka agar menggunakan idea yang bernas dalam menjawab persoalan tersebut. Jika para sahabat tidak dapat menjawab persoalan yang diutarakan maka jawapan yang diberikan oleh Baginda lebih mudah untuk difahami dan berkesan kepada jiwa pendengar.
Contohnya seperti yang telah diriwayatkan oleh Saidina Abi Hurairah beliau berkata: Rasulullah SAW pernah bersabda: Apakah pandangan kalian sekiranya ada sebatang anak sungai di pintu rumah salah seorang daripada kamu, ia mandi di dalamnya sebanyak lima kali pada setiap hari. Apakah akan ada lagi daki yang tinggal? Mereka menjawab: Tidak akan ada kekotoran sedikit pun. Sabda Nabi: Demikianlah perumpamaan solat lima waktu, Allah akan menghapuskan segala dosa dengannya.
Seterusnya, antara teknik lain yang digunakan oleh Baginda adalah menyoal pendengar bagi menyingkap kecerdikan dan pengetahuan mereka. Baginda kadang kala menyoal para sahabat mengenai perkara yang Baginda sendiri sudah mengetahuinya. Persoalan itu sebenarnya membangkitkan kebijaksanaan para sahabat, menggerakkan kecerdikan mereka serta menyalurkan ilmu kepada mereka melalui kaedah mengemukakan hujah agar dapat menguji ilmu yang ada dalam minda mereka.
Teknik yang selanjutnya pula adalah menggunakan bahasa kiasan dan perumpamaan dalam sesi pengajaran. Dalam mendidik, Rasulullah SAW juga membuat kiasan untuk para sahabat Baginda dan memberikan alasan logik mengenai hukum tersebut. Perkara ini berlaku apabila cara yang ingin digunakan agak mengelirukan dan hukumnya susah untuk diketahui. Dengan menggunakan kaedah kiasan, kesamaran tersebut boleh tersingkap. Justeru, bahasa kiasan bertindak sebagai satu kaedah memahami hukum syara’ dan matlamatnya juga untuk memperoleh kefahaman yang jelas mengenai tujuan dan matlamat syariah yang begitu luas.
Konklusinya, antara ciri utama bagi seorang pendidik ialah terhimpun pada dirinya segala bentuk kesempurnaan pada dirinya sama ada akal, kelebihan ilmu, hikmah, rupa paras pergerakan, diam, pertuturan yang baik, bau yang wangi, pakaian yang bersih, kata-kata yang menarik, tindakan yang wajar, dan pengurusan yang cekap. Semoga semua warga pendidik di luar sana dapat mempraktikkan teknik-teknik di atas sekaligus meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran ke arah yang lebih baik terutamanya bagi mereka yang berada di lapangan pengajian islam, tamadun islam, syariah islamiyyah, usuluddin, kewangan dan perbankan islam, tahfiz al-Quran dan dan lain-lain lagi.