Perkara Penting Anda Perlu Tentang Student Loans
Di Malaysia kebanyakan pelajar biasanya akan memohon pinjaman PTPTN. Walau bagaimanapun terdapat banyak pinjaman pelajaran lain yang ditawarkan sama ada dari pihak kerajaan atau swasta.
Sementara pinjaman pelajaran ini memang boleh membantu anda melanjutkan pengajian anda, kesannya akan dirasai selepas anda menghabiskan pengajian anda. Sedar tidak sedar anda mendapati bahawa diri anda telah terjerumus ke dalam masalah pinjaman dan beban kewangan yang besar. Jika ini berlaku anda tentu sekali akan tertekan dan hilang punca selepas menghabiskan pengajian anda.
Berhati-hati dengan pinjaman pelajaran
Oleh kerana kesannya yang agak besar ke atas hidup anda di kemudian hari, maka anda perlulah berhati-hati sebelum mengambil sebarang keputusan untuk membuat pinjaman pelajaran.
Berikut adalah berberapa tips yang dicadangkan dan anda perlu pertimbangkan sebelum membuat pinjaman pelajaran.
a. Ketahui dan tentukan halatuju kerjaya masa depan anda.
Adalah penting untuk anda mengetahui halatuju kerjaya masa depan anda. Jika anda belum pasti atau belum memutuskan apakah kerjaya yang anda hendak ceburi adalah dinasihatkan supaya anda tidak terburu-buru membuat sebarang pinjaman pelajaran untuk pengajian anda. Ini bermakna anda perlu tahu dan telah memutuskan apakah kursus yang ingin anda ambil di kolej atau universiti nanti. Sering berpindah kolej atau universiti hanya akan menambah kos dan beban kewangan untuk pengajian anda.
b. Perbanyakkan pilihan
Jika ada peluang mohonlah mana-mana biasiswa atau bantuan pengajian. Pertimbangkan untuk membayar kos pengajian anda dengan kolej secara ansuran berbanding membuat pinjaman dengan bank. Minta pendapat dan cadangan dari ahli keluarga dan rakan-rakan anda.
c. Kira kos keseluruhan pengajian anda
Berapa kos keseluruhan pengajian anda? Berapa jumlah pinjaman yang diperlukan dan berapa jumlah pembayaran balik termasuk kadar faedah (interest). Bagaimana bentuk pembayaran (installment plan) dari gaji anda selepas tamat pengajian? Adakah anda mampu? Semua ini anda perlu kira dan kenal pasti sebelum anda membuat pinjaman. Kos pengajian termasuklah tuition fees and accomodation, buku-buku dan kelengkapan peribadi anda.
Fahami dengan teliti pinjaman anda
Anda haruslah juga memahami dengan teliti pinjaman pelajaran anda. Anda mesti mempunyai maklumat yang terperinci.
d. Ketahui secara terperinci pinjaman pelajaran
Kebanyakan pengguna/peminjam tidak sedar atau mengetahui dengan teliti dan terperinci mengenai bentuk, struktur dan kesan pinjaman yang mereka ambil. Ramai yang tidak sedar kesannya pada kemudian hari. Antaranya ada pinjaman-pinjaman yang disubsidi dan ada yang tidak disubsidi. Biasanya pinjaman yang bersubsidi adalah pinjaman pelajaran yang ditawarkan oleh badan-badan kerajaan seperti PTPTN, MARA dan kerajaan negeri. Pinjaman yang tidak bersubsidi biasanya ditawarkan oleh bank-bank.
e. Kenali dengan terperinci institusi pemberi pinjaman
Sebelum terlibat atau menandatangai sebarang bentuk perjanjian pinjaman pelajaran anda mesti mengenali dan memahami institusi pemberi pinjaman tersebut. Jika boleh anda boleh berhubung dan mendapat pandangan, panduan dan nasihat dari mereka-mereka yang telah mendapatkan khidmat pinjaman dari institusi tersebut. Maklumat tersebut anda boleh gunakan untuk membuat perbandingan dan membuat keputusan.
Bijak dan rajin menyimpan dari awal
Anda haruslah bijak dan rajin menyimpan dari kecil untuk pengajian masa depan anda. Anda boleh membuka akaun simpanan atau dalam bentuk simpanan-pelaburan untuk anda gunakan pada masa anda memerlukannya untuk pengajian anda kelak.
f. Menyimpan awal
Sebenarnya anda boleh mula menyimpan dari awal. Walaupun anda masih belajar, anda sebenarnya boleh mula membuat pembayaran ke atas pinjaman anda semasa anda masih belajar. Ini untuk mengingatkan anda komitmen terhadap pinjaman anda dan juga ianya sedikit sebanyak membantu mengecilkan dan memendekkan jumlah dan tempoh menyelesaikan pinjaman anda walaupun bayaran yang anda lakukan itu kecil sahaja. Contohnya anda boleh mengasingkan RM20 sebulan untuk membayar pinjaman anda semasa anda masih belajar akan memberi faedah kepada anda pada masa akan datang. Menyelesaikan pinjaman pelajaran anda lebih awal akan memberi anda peluang untuk merancang halatuju kerjaya dan simpanan anda nanti.
g. Buat dan patuhi budget dan rancangan bulanan anda
Adalah sesuatu yang baik jika anda mempunyi kerja sampingan(part time job) semasa anda masih belajar di universiti atau kolej. Berkerja berberapa jam sehari boleh memberi perbezaan besar kepada proses pembayaran balik pinjaman pelajaran anda. Gaji kerja sambilan anda itu boleh anda gunakan untuk membayar sedikit-sedikit pinjaman pelajaran anda dari awal. Sebagai permulaan anda boleh membuat jadual perancangan pembayaran pinjaman pelajaran anda dan patuhinya dengan bersungguh-sungguh. Kaedah ini akan membantu anda menyelesaikan pembayaran balik pinjaman pelajaran anda dengan teratur dan tepat.
h. Menangguh perbelanjaan tidak perlu atau mewah
Ramai pelajar yang baru habis pengajian dan mendapat pekerjaan berbelanja dengan asyik tanpa berfikir panjang. Memanglah amat susah untuk mengelak dan mengawal diri daripada membeli barang-barang kegemaran anda selepas habis pengajian dan mendapat pekerjaan sehingga ada yang terlupa membuat pembayaran ke atas pinjaman pelajaran meraka. Jika boleh dielakkan janganlah terlibat lagi dengan sebarang beban kewangan atau hutang sebagai tambahan ke atas hutan pelajaran anda. Selesaikan dahulu hutang pelajaran anda. Hiduplah dengan ringkas dan rancang perbelanjaan dan kewangan anda.
Diharapkan tips-tips di atas dapat sedikit sebanyak membantu anda untuk menguruskan pinjaman pelajaran anda.